Thursday, January 15, 2015

Abu Talhah Sedekah Kebun Yang Paling Disayangi...

Assalamualaikum,

Dari Anas bin Malik r.a katanya:

Dulu, Abu Talhah r.a adalah salah seorang daripada kaum Ansar yang paling banyak hartanya di Madinah. Harta yang paling disayanginya ialah kebun Bairaha yang menghala tepat ke masjid. Rasulullah s.a.w selalu masuk ke kebun itu untuk minum air yang enak terdapat di situ. 
Anas berkata lagi: Ketika turun ayat yang bermaksud:
“Kamu sekali-kali tidak akan dapat mencapai hakikat kebajikan dan kebaktian yang sempurna sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai.”
Kemudian Abu Talhah datang menemui Rasulullah s.a.w dan berkata: Allah telah berfirman dalam kitab-Nya:
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَن ِ الرَّحِيـم ِ

لـَنْ تـَنَالـُوا الـْبِرَّ حَتىَّ تـُنْفِقـُوا مِمَّا تُحِبُّونَ.

وَمَا تـُنـْفـِقـُوا مِنْ ثسَىْءٍ فـَإِنَّ اللهَ بـِـهِ عَـلِـيـمٌ.

Tiada akan tercapai oleh kamu kebaikan itu sehingga kamu membelanjakan apa-apa yang kamu sayangi. Dan apa jua pun yang kamu belanjakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya (untuk memberi balasan).
Surah Aali-Imraan, 3: 92

"Sedangkan harta yang paling kucintai adalah kebun Bairaha, lalu kebun itu aku sedekahkan kerana Allah. Aku mengharapkan kebaikan dan bekalannya iaitu pahalanya di akhirat di sisi Allah. Dari itu, wahai Rasulullah! Manfaatkanlah kebun itu semahumu."
Rasulullah s.a.w pun bersabda: "Eloklah! Itu adalah harta yang menguntungkan, itu adalah harta yang menguntungkan! Aku telah mendengar apa yang engkau katakan mengenai kebun itu dan pendapatku, seeloknya kebun itu engkau berikan kepada kaum kerabatmu."
Abu Talhah pun membahagikan kebun itu dan memberikan kepada kaum kerabat dan anak-anak saudaranya.
* Disalin dan disunting dari:
http://yapeimborneo.wordpress.com/2013/06/04/abu-talhah-sedekah-kebuh-yang-paling-disayangi/